
PARTI RUMPUN SABAH

RUMPUN membawa erti himpunan semua suku bangsa yang terdapat di Wilayah Sabah.
SABAH membawa erti Wilayah tanah tumpah darah kita yang berdaulat.
MAJU membawa maksud sentiasa bergerak kehadapan dan meningkat dari segi kualiti kehidupan dan prestasi.
PENGENALAN PARTI RUMPUN SABAH
1. PARTI RUMPUN SABAH ialah sebuah pertubuhan politik yang ditubuhkan untuk menerajui, mencetus, menjaga, membela, memelihara, membangun dan memperjuangkan kepentingan nasib semua bangsa dalam rumpun Sabahan rakyat Malaysia di negeri Sabah.
2. Setelah 60 tahun Sabah merdeka, masih terdapat masyarakat rumpun Sabahan yang ketinggalan dari segi kualiti kehidupan terutama sekali dari segi ketidak seimbangan status sosial. Masih ramai lagi yang menganggur, tidak memiliki rumah, tanah, dan hidup susah.
3. Lebih merisaukan lagi, bibit-bibit perpecahan dikalangan suku-suku rumpun Sabahan di negeri Sabah juga semakin membimbangkan. Pergeseran berlaku disebabkan oleh perbezaan fahaman politik kepartian yang bercelaru dan berdendam, serta kesan ketidak seimbangan status sosial di kalangan suku-suku rumpun itu sendiri.
4. Realitinya hanya orang Sabah yang lebih memahami latarbelakang, keadaan, keperluan serta aspirasi sebenar rakyat mereka untuk diperjuangkan, bukannya parti dari luar negeri Sabah.
5. Menyedari hakikat inilah, sekumpulan anak tempatan rumpun Sabah yang ingin melihat semua suku bangsa dari pelbagai rumpun Sabah, hidup aman, makmur dan berkat sebagai satu keluarga besar yang berkasih sayang, bersatu-padu, berdaya-maju dan makmur dalam keseimbangan di bawah satu wadah, telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah parti tempatan asli untuk merealisasikan aspirasi murni ini. Maka lahirlah PARTI RUMPUN SABAH pada 29hb Mei 2024 yang didaftarkan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
6. Pengasas dan pendokong PARTI RUMPUN SABAH adalah anak tempatan rumpun Sabah dari pelbagai usia, bangsa, agama dan latarbelakang yang berketerampilan, berpengalaman serta berilmu. Ada kalangan mereka pesara perkhidmatan awam, para usahawan, para ilmuan, kumpulan pemikir, dan para pimpinan komuniti. Mereka nekad untuk memartabatkan rumpun Sabah, agar membangun dengan dinamik dalam satu sinergi gabungan mantap bersama semua bangsa rumpun Sabahan di Negeri Sabah.
7. Hakikatnya, PARTI RUMPUN SABAH membawa harapan baharu kepada semua masyarakat di negeri Sabah bahawa kali ini sudah ada parti tempatan yang betul-betul memahami aspirasi mereka dan memperjuangkan nasib masa depan mereka dan anak cucu mereka.
8. Bagi masyarakat Muslim yang merupakan 69% jumlah penduduk negeri Sabah (menurut statistik Jabatan Perangkaan 2020), tidak lagi perlu bergantung dengan parti luar kerana kali ini seluruh umat Islam di negeri Sabah boleh berganding bahu, bekerjasama, bergabung tenaga dan sumber secara dinamik di atas SATU platform landasan kukuh yang sah untuk mencapai impian bersama demi masa depan anak cucu generasi Muslim yang akan datang bersama-sama dengan SEMUA suku dan agama dalam semangat - "Kita Satu Rumpun bah!".
9. PARTI RUMPUN SABAH memberi jaminan akan menjaga toleransi saling hormat menghormati sesama seluruh rakyat di negeri Sabah yang berbilang agama dalam prinsip “tiada paksaan beragama Islam”.